Quantcast
Channel: geek in the pink !™
Viewing all articles
Browse latest Browse all 182

Mungkin Aku Rindu.

$
0
0
Benda ni tak selalu terjadi. Biasanya terjadi bila aku lepas habis kerja seharian di sekolah. A very long and tiring day, dan aku dalam kereta, memandu pulang sendirian ke rumah. Dan ketika itulah kenangan itu satu demi satu datang dan menayang ulang semua manis-manis yang pernah kami lalui sama - sama. Kenangan itu sebetulnya jahat dan kejam. Sebab dia tak ada belas kasihan. Sama ada kau ready ataupun tidak, kau mahu ataupun tidak, ia akan tetap ada dalam kotak fikiran kau. Satu. Demi satu. Dan kau, akan jadi rindu.

Orang selalu akan kaitkan patah hati dengan kisah tragis percintaan, kan? Tak semestinya, tahu? Patah hati, it could be anything. Dan untuk aku, patah hati yang ini kesannya terlalu dalam. Buat aku duduk sendiri dan timbang tara kemana hala tujunya ukhuwah yang satu masa dulu diikat janjikan syurga katanya. "Sampai syurga,ya?" Itulah ayat ajaib yang selalu aku tulis dalam nota - nota ringkas yang aku beri. Orang kata hubungan yang usianya melebihi 7 tahun, biasanya akan kekal selamanya. Well, I doubt that. Apa-apa sahaja boleh terjadi.

Perasaannya sakit dan sangat menyeksakan. Kalau kau sendirian tanpa bantuan, kau mungkin akan berakhir dengan 1001 kegagalan. Kau bukan robot tak ada hati dan perasaan. Untuk beberapa bulan pertama, aku cuba untuk tak bercakap hal ini dengan sesiapa. Aku diamkan. Dan kalau orang bertanya, aku lebih suka untuk angkat bahu dan teruskan dengan topik perbualan yang lain. Mana mungkin gandingan yang mustahil bertelingkah akhirnya putus tanpa salam perpisahan? Tapi itulah hakikat kebenaran yang aku terpaksa hadam dan telan. Mungkin ini yang terbaik. Mungkin ini yang sebenarnya diperlukan.

Aku tak pasti apa sebabnya. Mungkin aku punca. Mungkin aku awal khilafnya. Aku tak pernah cuba mencari jawab. Sampai satu masa, kita hanya biarkan cakap-cakap manusia menjadi jawapan untuk semua tanda tanya. Kalau dulu aku penuh dengan amarah, ego dan pasak rasa kecewa yang sangat dalam kukuhnya dan menjulang tinggi dendamnya. Tapi, semakin dilayu masa, aku semakin faham dan semakin kenal erti, mungkin ini jalan penyudah. Mungkin ternyata inilah pengakhiran yang dicari-cari dan dinanti-nanti selama ini. Dan ketika itu aku menjadi sangat redha. Aku doakan dia bahagia.

Dan iya. Aku rindu.
Mana mungkin manusia yang dulunya tak pernah tiris memegang segala aib rahsia aku, aku bisa lupakan semudah itu? Yang berkongsi ketawa. Yang berkongsi cerita. Yang berkongsi suka duka. Alam jadi saksi yang mata ini pernah menangis sama-sama. Rentannya hati saat kami dipisahkan atas urusan pekerjaan. Yang menjadi bahu tempat aku berkongsi sihat dan sakit, sewaktu aku didiagnos dengan penyakit yang pernah satu masa dulu menjadi punca kemurungan aku, sidekick untuk semua kerja-kerja merepek aku, yang kalau sudah bercerita sampai ke tengah malam pun belum habis kisahnya. Seseorang yang sangat kenal dan sangat tahu seorang aku itu polahnya bagaimana. Seseorang yang namanya tak lekang meniti dalam doa supaya kekal hingga kiamat gembira dan bahagia. Yang tak akan pernah aku benci atau cuba untuk membenci.  Semua cerita yang bermula dituntut untuk punyai pengakhirannya. Dan mungkin cerita kami akhirnya disini.

Walaupun sekarang dia hanya seorang sosok asing yang menjauh, aku lebih suka menggambarkan dia sebagai seorang manusia yang sudah menemukan jalan hidupnya sendiri. Langkah yang kami ambil walaupun sudah tidak sederap kaki, bahu sudah tidak berselisih lagi, tetap sahaja aku doakan dia kekal bahagia dan akhirnya menemukan jalan pulang yang sejati. Dan untuk segala kenangan manis-manis dan yang indah-indah kita pernah lalui sama-sama, aku akan tetap sematkan ia kemas-kemas dalam hati. Menyakitkan. Tapi setiap detik yang berlalu menjadikan aku manusia yang lebih kuat dan bersyukur. Dia akan tetap aku ingati sebagai seorang manusia yang dulunya tidak putus-putus membawa larik bahagia. Dan untuk itu Tuhan, limpahkanlah dia dengan segala kasih dan rahmat Mu yang penuh keberkatan. Sampai ke akhir zaman.

Apapun gelaran yang pernah diberikan untuk aku, aku tak akan pernah pertikai atau justifikasikan. Jika begitu, begitulah. Terima kasih kerana pernah hadir dan membahagiakan. Terima kasih kerana pernah menjadi pendamping kiri dan kanan. Terima kasih pernah menjadi pendengar yang sentiasa memikul separuh beban. Terima kasih kerana pernah memberi sebanyak-banyaknya tanpa mengharapkan balasan. Terima kasih kerana pernah memilih untuk mempertahan. Terima kasih untuk masa yang terbuang, terima kasih untuk tawa yang pernah didendang, terima kasih untuk tangis yang pernah berlinang. Terima kasih untuk doa yang pernah dirafak. Terima kasih untuk manis dan pahit yang kekal terpasak. Terima kasih untuk segala - gala dan seluruh semesta. Terima kasih.

Inilah penutup yang aku cari-cari. Aku sudah sepenuhnya redha.

Senyum.



Viewing all articles
Browse latest Browse all 182