Sebelum melangkah masuk wad 601A, aku bagi warning dekat Inn dengan Ijah, supaya dia orang jangan berani - berani nak mengalir airmata. Aku siap bagi sign penumbuk. Untuk menguatkan hujah aku bahawa aku bukan main - main. Inn , Ijah angguk sekali. Pintu aku kuak. Sekujur tubuh yang terbaring dengan tiub berselirat, mata separa terbuka menyambut kami.
Dan disaat tangan Lin aku genggam, airmata aku turun macam hujan.
"Lin, kenal aku tak?" Aku tanya Lin dengan suara yang bergetar - getar.
Lin angguk. Sekali.
Aku perhatikan Lin yang terbaring lemah. Celaka sungguh dengan airmata. Aku yang sepatutnya kuat untuk Lin, jadi manusia yang paling lemah - selemah lemahnya. Sesekali Lin terbatuk - batuk, mencari nafas untuk disambungkan dengan nyawa. Lembut, suami Lin, Razali, mengelus - elus, mengurut - urut dada Lin.
"Ayang, kawan datang tuu." Sesekali mata Lin terpejam terbuka. Lin pandang kami seorang , seorang. Tangan Lin aku lepaskan. Aku berundur ke sudut kepala katil. Melayan tangis. Memujuk airmata supaya tolonglah, buat sekali ini, janganlah dia buat pasal. Sementara, Inn dan Ijah berbual dengan Razali.
"Mula - mula demam. Batuk, selesema. Seminggu demam batuk tak baik - baik. Kena masa pagi raya. Stroke. Mula sebelah kanan. Sekarang bila belah kanan dah okay, belah kiri pulak. Doktor kata ada jangkitan kuman dekat paru - paru, dan dah merebak sampai ke otak. Lin ni sihat aje. Takde sakit apapun. Cuma dia liat nak makan ubat. Antibiotik sepatutnya dah habis, tapi dia tak habiskan."
Tenang aje Razali bersuara. Sesekali tangannya mengusap-usap lembut lengan Lin. Bertambah - tambah terpagut sayu rasanya hati aku. Reda airmata, aku melangkah menghampiri Lin. Aku biarkan Ijah dan Inn berbual - bual dengan Razali. Aku pandang mata Lin. Lin pandang tepat ke muka aku. Telus. Polos. Tapi masih punya sinar. Sinar harapan. Sinar kasih sayang. Aku tahu Lin flashback apa sahaja memori yang tinggal dalam kepalanya, memori antara kami.
"Kuat Lin. Kau kawan yang paling kuat antara kita."
Aku tak boleh cakap panjang. Satu, satu aje ayat yang keluar. Bila cuba nak cakap panjang - panjang, mesti nak menangis.
"Lin, kawan - kawan kirim salam."
Lalu aku sebut satu - satu nama - nama kawan kami. Bila aku tanya kenal atau tidak, Lin mengangguk.
Lalu kami sebutkan satu - satu antara memori- memori manis kami dengan Lin. Naik basikal beraya keliling kampung, godak parit, tangkap ikan, lumba basikal sampai tayar tercabut, mandi parit sampai basah lencun, aktiviti tukar - tukar komik, buat benda jahat, buli kawan - kawan. Sesekali mata Lin aku pandang. Sesekali mata Lin bercahaya, mungkin ada memori memori yang kami sebut tadi, masih berbekas di ingatannya.
Razali, sesekali melempar pandang, memandang ke sudut. Entah apa yang dia fikir.
"Suaminya kena kuat juga."
Razali senyum. "Insyaallah." Ucapnya perlahan tapi padu.
Kau sedang diuji, sahabat. Allah mahu tingkatkan keimananmu, darojah mu.
Lama kami berbual - bual dengan Lin. Biar dia ingat. Kami tunjukkan gambar Irfan, anak dia. Biar dia dapat suntikan semangat. Biar semangat juangnya kuat melawan sakit. Lin tenung lama gambar Irfan. Aku tahu hatinya berbunga rindu.
Kami bersilih ganti berbual dengan Lin. Kadang - kadang kami mengekek ketawa bila ada cerita yang lucu, kadang - kadang kami terdiam bila Lin terbatuk - batuk. Sambung semula cerita. Ketawa lagi. Ketawa bagi pihak Lin. Ketawa supaya boleh jadi ubat. Macam - macam yang kami janjikan.
Lin kena sembuh. Bila sudah sembuh, kita buat reunion ramai-ramai. Minta bapa Inn sponsor lemang. Buat reunion dekat rumah Ijah. Lin kena datang tau, sebab dia tetamu istimewa. Dia duduk saja, tak payah buat apa. Kami yang uruskan semua.
Lin kena sembuh. Bila sudah sembuh, Lin boleh baca blog aku. Banyak entry yang Lin tertinggal. Lin kau suka baca blog aku kan, Lin? Bila aku tanya ini pada Lin, dia angguk.
Lin kena sembuh, Lin boleh jaga Irfan. Lin boleh ajar Irfan mengaji, Lin boleh tengok perkembangan Irfan. Lin kena kuat. Lin tak boleh mengalah.
Bila Lin sembuh aje nanti, kita keluar ramai-ramai. Bawa suami, anak - anak kita. Lin kena lawan sakit Lin. Ya?
Untuk Razali, kami titipkan kata - kata semangat.
Supaya dia tabah.
Supaya dia kuat.
Supaya dia sabar.
Supaya dia ikhlas.
Sampai masa mahu pulang, tangan Lin aku genggam kuat - kuat. Aku ucapkan banyak kali supaya dia kuat. Kawan - kawan sayang kau, Lin.
"Aku sayang kau Lin." Ucap aku ke telinga Lin.
Aku cium pipi dia . Lama.
"Aku balik dulu. Nanti aku datang lagi."
Lin angguk lagi.
Tiba - tiba, tangan kiri Lin bergerak perlahan. Hinggap ke mulut, dan ditebarkan kepada kami. Lin buat flying kiss !!
Berderai ketawa kami. Dengan mata yang berkaca - kaca.
Kami tahu Lin memang fighter.
Yang true punya.
Kami tinggalkan Lin. Tapi kami titipkan doa yang tak putus - putus untuk dia. InsyaALLAH, Lin. Tuhan akan bantu kau. Dia Maha Pengasih Maha Penyayang.