Assalamualaikum.
Musim panas. Bila berjalan dari kelas ke kelas, banjir ketiak aku. Hari - hari aku mengidam ABC. Panas!
Lepas tu nanti tiba - tiba ada mulut Masjid kata "Alah, baru panas dekat duniaaa, belum dekat neraka lagii!" Okay, apa masalah engkau sebenarnya? Aku panas. Dah tu? Kau nak suruh aku pasrah aje? Ke nak suruh aku gantung kipas dekat ketiak?
Okay apa aku nak cakap sebenarnya tadi?
Ha. Panas.
Bukan sahaja cuaca yang panas, isu - isu panas juga tak kurang melanda Malaysia.
Aku tengok, setiap hari, ada saja benda yang rakyat Malaysia nak gaduhkan. Nak marahkan. Nak makikan. Nak spazzed kan. Nak circular kan. Ada aje. Sejak akhir - akhir ni rakyat Malaysia dah jadi masyarakat yang post and share. Segala jadah berita tak kiralah nak soheh ke tidak, semua nak dishare selagi boleh share. Tak kiralah dekat cara yang paling old school iaitu dari mulut ke mulut, atau guna teknologi yang paling latest sekali, melalui media massa.
Kalau share benda betul, takde hal jugak. Ni jenis yang rajin share pitenah, yang share benda yang tak betul, tu cemana cerita dia tu?
Kita berada dekat zaman dimana seorang Abah boleh saja memaki anaknya dekat laman sosial. Kita berada dekat zaman dimana belasah orang sana sini bukan lagi satu benda pelik. Zaman dimana budak sekolah rendah darjah empat dah lima belas kali putus cinta. Senang kata, kita berada di zaman yang dah tibanya pengakhiran dunia. Segala benda - benda yang manusia buat masa zaman jahiliyyah dulu, kita buat pada masa sekarang tanpa segan silu lagi dah.
Agama? Kita letakkan harga. Kita perdagangkan.
Terbaru, pasal seorang anak manusia yang Emak dia kurung, abaikan sampai kurus kering budak tu. Baju dia pun sampai dah mereput dekat badan. Dan kita, menjalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin. Sana sini berita tersebar dengan cepat baq hang. Dalam masa tak sampai sehari, cerita tentang si Emak yang kejam ini dengan si anak yang sungguh kesian ini kalau kita compile kan, dia punya tebal, kalah eksiklopedia binatang - binatang liar.
Tiba - tiba, si Emak yang sebelum ini entah sapa - sapa, terus jadi trending dekat Twitter. Rakyat Malaysia pulak dia punya handal cari maklumat, aku rasa pegawai - pegawai CIA pun boleh tabik spring. Segala macam maklumat yang kita perlukan tentang si Emak ni tadi capcuss zassss terus dapat dekat hujung jari. Cerita yang tak ada pun, terus diada - adakan. Sampaikan kedai runcit dimana si Emak tadi selalu berbelanja membeli ubat gigi pun kita sibuk cari dalam Google Maps. Dalam masa tak sampai 24jam, kisah dua beranak ni terus mendapat perhatian media dan perhatian seluruh Malaysia. Gempar.
Yang mengeji, peh. Tak payah nak cakap. Semua jenis perkataan keluar. Emak tak guna, Emak musibat, Emak kejam, Emak perangai cam haram, tak berperikemanusiaan, semualah keluar. Berbakul - bakul si Emak tadi mendapat maki. Serta caci keji yang lemak berkrim malah ditambah - tambah pula disana sini. Rakyat Malaysia, kalau suruh mengarang karangan yang bertemakan anjingan ni, memang beginiiii (Cap jempol). Handal.
Aku bukan tak marah, aku marah. Reaksi pertama aku bila aku tahu berita ni adalah, aku terasa nak terajang Emak dia dekat muka. Betul. Tapi bila aku fikir - fikirkan balik, yang buat dosa tu dia. Yang menghadapi benda tu dia, yang menghadap si anak hari - hari tu pun dia, wallahi kita tak pernah tahu apa yang dia rasa, apa yang dia alami. Semua kata - kata kita ke dia tu, berdasarkan tanggapan dan pendapat kita, dipandu oleh laporan media. Hati perut dia, kita tak tahu.
Iye memang. Kita Emak Bapak yang baik. Kita tak buat anak kita lagu gitu. Anak kita cukup pakai makan. Baju anak kita harga ratus - ratus, anak kita makan minum hanya dari makanan yang terbaik, kita belikan anak kita buku tebal - tebal kamus dewan bagai walaupun umur dia baru 4 bulan. Kita bagi dia susu badan eksklusif selama 2 tahun. Kadang - kadang siap terlebih. Bilik tidur anak kita siap ada lampu liplap liplap, kita sekolahkan anak kita dekat tadika yang terbaik yuran sebulan sama macam bayar monthly installment Honda Civic. Iya. Kita Emak Bapak yang baik serba - serbi.
Tapi cara kita keji si Emak tadi tu, macam kita suci tak ada dosa. Amboih, dia sajalah yang salah. Kita sajalah yang betul. Emak dia kejam, Emak dia bodoh, Emak dia penipu kata miskin padahal duit gaji banyak, Emak dia perangai macam binatang. Penuh satu bakul kau umpat keji dia. Semua cerita dia, kita gali, kita korek dalam - dalam. Kita sebarkan dekat umum. Kita kata, biar, jadikan tauladan, biar orang lain ambik pedoman, biar dijadikan peringatan. Itu aib orang tu yang kita buat main. Aib orang. Tuhan kata, kau jaga aib orang, Aku jaga aib kau. Habis kalau dah aib orang kita jadikan tontonan, engkau rasa aib engkau apa cerita? Tunggu masa nak keluar tunjuk muka.
Kita ni entah - entah perempuan yang tak taatkan suami?
Kita ni entah - entah anak yang derhakakan Emak Bapak?
Kita ni entah - entah pekerja gomen yang makan gaji buta, claim lebih - lebih, songlap duit yang bukan hak kita?
Kita ni entah - entah penzina, kaki botol.
Kita ni entah - entah tak adil dalam melayan anak - anak kita, bezakan sayang?
Kita ni entah - entah pinjam duit PTPTN tapi tak pernah bayar langsung?
Kita ni entah - entah selalu tengking suami / emak bapak?
Kita ni entah - entah selalu mengumpat orang, fitnah orang?
Habis nak panggil diri kita ni apa? Iye memang kita tak menzalimi anak kita, tapi benda - benda yang lain?
Memang si Emak tadi tu salah. Kita benci kelakuan dia sudahlah. Lepas itu kita muhasabah diri kita. Syukur sebab aib dosa kita Allah pelihara, orang lain tak tau, Allah bagi masa kita nak bertaubat. Allah belum cabut nyawa kita. Kita masih ada masa nak betulkan. Daripada kita kutuk kutuk si Emak ni tadi, ayuh kita sedekahkan gaji kita yang beribu ni tadi dekat si anak. Kata prihatin kan? Yang konon - konon macam Emak mithali tadi ni, apa kata tawar diri jaga si anak ni tadi? Bertindak. Bukan cuma duduk depan laptop, depan smartphone, cakap pung pang pung pang macam bagus padahal sama aje sudahnya. Panglima Papan Kekunci.
Keji mengeji ni dah jadi budaya masyarakat kita, especially yang beragama Islam. Engkau lupa ke, salah besar macamanapun manusia ni, selagi belum mati, belum kiamat, Tuhan bagi jalan kita bertaubat. Tuhan pimpin kita tuju jalan syurga. Kita datang berjalan, Tuhan datang berlari. Kita kutuk dia bagai nak rak hari ni, esok - esok kalau dia bertaubat, dia jadi Emak mithali, tebus kesalahan dia dengan si anak tadi, sedangkan kita duduk takuk ni jugak, apa kita rasa? Tak malu? Silap - silap haribulan, dia selamba masuk syurga sebab kantung pahala dia penuh sarat memboyot - boyot dengan pahala percuma yang kita dok sedekahkan untuk dia dek kerana umpat keji kita tadi. Yang kita ni? Memanglah kita ni belum confirm masuk syurga, tapi tak mustahil kita masuk neraka. Ye dak?
Sudah - sudahlah menghukum.
Kalau betul kita niat baik, kita doakan si anak ni tadi sihat walafiat, jalan hidupnya kembali cerah seindah suria, dan si Emak ni tadi diberikan hidayah oleh Allah, dan berubah menjadi ibu dan muslimah yang Allah cinta. Doa jugak supaya mudah - mudahan, Allah pelihara kita dari dosa yang sama. Dan semoga saat nyawa kita Allah tarik nanti, kita dah cukup bekalan nak meniti titian Sirat.
Sebab pucuk pangkalnya, kita manusia tak ada yang sempurna. Maksum itu bukan milik kita. Pusing sana pusing sini, kita jugak sama.
Kita pendosa.
Sudah - sudahlah.
Sudah - sudahlah.
Dah. Babai!